13 Baik Buruk Sewa Rumah Lengkap Perabot & Rumah Kosong!

Anda sudahpun bekerja, baru-baru nak merasa duit gaji. Tambahan pula waktu ini ramai yang baru berkahwin dan mula nak bina keluarga sendiri.

Jadi, perasaan nak berdikari itu mesti membuak-buak kan? Tetapi, baru setahun jagung kerja, anda mungkin belum bersedia lagi nak beli rumah, betul tak?

Solusinya, menyewalah dulu! Sebenarnya proses menyewa ini tak banyak songeh pun, cuma kena betul-betul teliti.

Lepas dah pilih rumah, jangan terus bayar deposit. Tengok dulu keadaan rumah, fasiliti dan kejiranan. Pastikan surat perjanjian sewa lengkap dan perlu dicop LHDN.

Jangan lupa tilik perjanjian sewa sampai juling mata! Tak adalah nanti anda kena tipu dengan scammer!

Tak kisahlah anda seorang pelajar, bujang atau baru berkahwin, boleh jadi anda terlepas pandang tentang keperluan perabot dan kelengkapan rumah yang anda nak sewa itu.

Menyewa rumah kosong mungkin tak ada hal bagi anda. Asalkan murah, jalan! Tetapi, jangan tak tahu ada orang yang sanggup berhabis duit semata-mata nak sewa rumah lengkap dengan perabot tau!

Persoalannya, yang mana satu lebih menguntungkan? Sewa rumah kosong ataupun dilengkapi perabot? Apa beza kedua-duanya? Kalau nak tahu, jom teruskan membaca!

Rumah Lengkap Perabot VS Rumah Tanpa Perabot

Apa yang dimaksudkan dengan rumah lengkap perabot? Bahasa orang putihnya fully furnished iaitu segala keperluan rumah untuk kehidupan harian yang selesa sudah lengkap disediakan di dalam rumah.

Contohnya sofa, almari, peti ais, kabinet, TV, set meja, mesin basuh, kelengkapan dapur, pendingin hawa dan banyak lagi.

Jadi, definisi ‘lengkap’ itu tak sama bagi setiap rumah. Kehendak dan citarasa masing-masing kan berbeza?

Namun, rumah unfurnished tak semestinya 100% kosong. Setidak-tidaknya benda asas seperti kipas dan lampu wajib dipasang.

Janganlah rumah tu kipas pun takda, tapi tuan rumah sewa dengan harga biasa, tak payahlah menyewa dengan tuan rumah zalim begitu.

Ada juga tuan rumah yang menyediakan sebahagian perabot asas seperti tilam, kerusi dan mesin basuh. Ha, itulah yang kita duk panggil sebagai semi-furnished!

Harga? Mestilah tak sama! Apa yang pasti, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Anda tengah sibuk mencari rumah sewa? Cantik! Artikel ini untuk anda.

Kelebihan Menyewa Rumah Dilengkapi Perabot

1. Kos belanja masuk rendah

Satu benda yang anda kena tahu sebelum pindah rumah adalah, harga kelengkapan rumah sememangnya tidak murah. Peti ais, katil, tilam, lampu dan TV sahaja kesemuanya mampu mencecah lebih dari RM8,000 tau!

Sudahlah berhabis bayar deposit rumah, kena fikir pula kos belanja perabot dan kelengkapan lain. Serabutnya! Tak perlu pening-pening lagi, sewa saja rumah fully furnished.

Dekat mana-mana pun, kos sewa rumah yang lengkap ini memang 20%-40% lebih mahal daripada rumah kosong.

Tuan rumah akan mengambil kira sekali kos penyelenggaran atau kerosakan. Tak pelik kalau harga sewanya boleh mencecah ribuan ringgit sebulan!

2. Jimat masa & tenaga

Proses mencari rumah sewa itu sendiri pun sudah makan masa. Tambahan pula rumah sewa anda serba tak cukup. Terpaksa cari masa nak survey harga dan kualiti barang-barang rumah pula.

“Apa nak susah, beli sajalah secara atas talian”. Ya! Tak dinafikan jualan online shopping sekarang ini sedang menggila. Tapi, bila sampai saja barang, siapa nak pasang? Pasanglah sendiri!

Beli perabot kecil takpe lagi, kalau gedabak besar, makan masa berminggu juga nak siap. Silap-silap boleh patah pinggang!

Dengan rumah fully furnished, anda hanya perlu bawa badan dan pakaian sahaja. Mudah kan?

3. Pilihan tepat untuk penyewa sementara

Selalunya, rumah fully furnished ini memang tinggi permintaan dari kalangan penyewa jangka masa pendek seperti 6 bulan atau setahun. Mereka biasanya akan berpindah randah selepas tempoh sewaan tersebut.

Proses melengkapkan rumah ini mengambil masa berbulan-bulan juga. Bila tiba masa nak pindah, dah kena angkut barang sana-sini. Buat apa nak susahkan diri kalau setakat nak duduk 6 bulan saja?

Jadi, di rumah fully furnished, anda bukan sahaja lapang fikiran, malah anda akan rasa lebih selesa untuk mulakan kehidupan baru. Kenalah bersedia mental dan fizikal kan?

4. Bebas kos penyelenggaran

Menyediakan kelengkapan rumah yang selesa dan berfungsi sepenuhnya adalah tanggungjawab tuan rumah.

Jadi, kos penyelenggaran peralatan rumah bukan tangunggjawab anda sebagai penyewa.

Kalau ada berlaku kelengkapan rumah yang kurang berfungsi seperti aircond tak sejuk atau kipas semakin perlahan ke, tak perlu susah-susah cari mekanik sendiri. Hubungi saja tuan rumah. Anda? Goyang kaki!

Jangan risau, tuan rumah memang perlu jaga kebajikan penyewa mereka kalau tak nak penyewa lari, betul tak?

Kekurangan Menyewa Rumah Dilengkapi Perabot

1. Harga sewa mahal

Rumah fully furnished ini biasanya mahal. Tuan rumah akan mengambil kira kos perabot untuk markup lagi harga sewa.

Jadi, kalau apa yang anda bayar itu tak memadai dengan kelengkapan yang disediakan, lupakan saja!

Sebab itulah penting untuk kira bajet. Bandingkan perbezaan perbelanjaan setahun jika menyewa rumah fully furnished dengan rumah tanpa perabot. Anda akan dapat jawapannya nanti.

2. Perabot tidak berkualiti

Zaman sekarang, melambak perabot dijual atas talian dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran.

Kebanyakannya diperbuat daripada dari kayu papan yang ringan. Luaran nampak moden, tapi tahan lasak ke? Failed!

Ada sesetengah tuan rumah yang menekan penyewa dengan kadar sewa dan deposit yang tinggi, tetapi sediakan perabot yang sudah uzur dan asal boleh. Ini hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Sebelum buat keputusan, lebih baik anda tengok dulu keadaan perabot di rumah sewa tersebut sama ada masih berfungsi ataupun sekadar hiasan untuk markup harga sahaja?

Fikirkan. Jangan sampai jadi mangsa scammer!

4. Ruang terhad

Rumah kecil tapi perabot mengalahkan rumah banglo. Hasilnya, rumah jadi sempit sampai boleh berlanggar bahu dengan housemate. Rimasnya!

Tambahan pula dengan norma baharu Work From Home (WFH) sekarang, habis semua dokumen anda angkut ke rumah. Mana nak letak? Silap-silap rumah sewa bertukar jadi stor.

AWAS! Jangan buat ubahsuai rumah tanpa kebenaran tuan rumah. Ia boleh jadi anda melanggar syarat-syarat perjanjian sewa dan boleh disaman tau. Jangan main-main!

4. Sentiasa risau barang rosak

Walaupun selesa, anda kena ingat, semua barang di rumah sewa tersebut milik tuan rumah. Jadi, anda tak boleh guna ikut kepala sendiri.

Kalau rosak, berkemungkinan besar anda kena tanggung 100% kos baiki tau!

Kerusi patah secara tiba-tiba? Ketuhar meletup? Sofa terkoyak sebab kucing liar masuk rumah? Semua itu boleh jadi salah anda! Tuan rumah akan buat pekak asalkan ganti rugi anda yang bayar.

Inilah gunanya surat perjanjian sewa! Jangan terus tandatangan sebelum teliti semua kandungan dan syarat-syarat yang ada.

Fokus lebih pada info seperti jumlah deposit sekuriti serta senarai tanggungjawab tuan rumah dan penyewa.

Kelebihan Menyewa Rumah Kosong/Perabot Tak Lengkap

1. Harga sewa murah

Buat apa berbelanja sampai RM1,500.00 sebulan kalau anda boleh bayar RM800.00-1,000.00 sahaja untuk rumah tanpa perabot?

Duit yang lebih itu boleh guna untuk beli kelengkapan yang anda perlu sahaja. Lebih jimat!

Kadang-kadang, rumah fully furnished ini menyediakan kelengkapan yang anda tak perlu seperti ketuhar, pendingin hawa, mesin pengering baju atau kerusi urut. Lepas itu bantai caj sewa mahal-mahal!

Jadi, bila rumah kosong ini, senang sikit anda nak bajet. Awal-awal memanglah anda perlu berbelanja lebih sedikit untuk barang-barang keperluan. Yang penting, komitmen bulanan rendah!

2. Bebas dekorasi rumah

Tuan rumah tiada hak nak halang anda susun atur rumah sebab barang-barang itu semuanya milik anda. Anda bebas membeli perabot yang anda suka mengikut bajet sendiri.

Tetapi, jangan pula buat renovation struktur rumah! Mengamuk tuan rumah nanti…

Lagipun, tak semua kelengkapan yang tuan rumah sediakan itu secocok dengan jiwa anda kan? Contohnya macam jejaka yang viral baru-baru ini sebab sanggup belanja ribuan ringgit untuk cantikkan rumah sewa.

Paling best, tak perlu risau pasal ganti rugi jika berlaku kerosakan. Bukan apa, selalu terjadi tuan rumah minta ganti rugi melebihi kos sebenar sebab nak untung punya pasal. Ish!

3. Pilihan tepat untuk menyewa lama

“Saya rancang nak beli rumah sendiri lepas 5 tahun bekerja”. Ha, inilah peluang anda! Tak pelik kalau ada orang yang menyewa seumur hidup sebab mereka memang tak nak memiliki rumah sendiri.

Tak terikat dengan komitmen berat setiap bulan ini best! Anda boleh rancang bajet nak beli kelengkapan rumah mengikut kuasa beli anda pada masa tertentu.

Contohnya bulan ini dapat bonus, jadi ada duit lebih nak beli sofa! Kalau tak nak, boleh simpan dalam tabung. Tak perlu rushing nak penuhkan rumah dengan perabot. Hidup lebih seronok bila ada pilihan kan?

Kekurangan Menyewa Rumah Kosong/Perabot Tak Lengkap

1. Tinggi potensi berbelanja lebih

Sudah tentu anda kena beli perabot sendiri waktu mula-mula nak masuk rumah sewa kan? Pada mulanya anda fikir boleh berjimat dengan beli barang keperluan sahaja.

Tetapi, sejauh mana anda yakin boleh kawal nafsu membeli anda?

Zaman sekarang ada macam-macam kelengkapan rumah yang cantik-cantik. Jadi, lagi mudah anda terpengaruh nanti!

Elok-elok nak berbelanja RM2,000.000 saja, tiba-tiba terlebih sampai RM6,000.00!

Mana boleh tahan tengok sofa empuk, pressure cooker, atau TV 60 inci kan? Potensi nak beli tu confirm ada!

2. Kos angkut pindah barang

Satu masa nanti anda pasti memiliki rumah sendiri betul tak? Anda akan mula mengemas dan membungkus barang-barang yang nak diangkut ke rumah baru.

Dah tentu-tentu wajib sewa lori. Takkan nak guna kereta pula? Sampai ke sudah tak habis!

Kos pengangkutan bukan murah tau. Dalam poket mesti ada antara RM650.00 sehingga RM2,000.00 bergantung pada jarak penghantaran.

Bukan itu sahaja, anda juga perlu bayar upah memindahkan barang-barang ke dalam rumah lebih kurang RM50.00 – RM60.00 untuk setiap pekerja. Banyak kan?

Kelebihan Sewa Rumah Lengkap Perabot VS Tiada Perabot
Kelebihan Sewa Rumah Lengkap Perabot
• Kos belanja rendah
• Jimat masa dan tenaga
• Pilihan tepat sewa pendek
• Tiada kos selenggara dan pembersihan
Keburukan Sewa Rumah Lengkap Perabot• Sewa mahal
• Perabot tak berkualiti
• Ruang terhad
• Risau barang rosak
Kelebihan Sewa Rumah Kosong/Tak Lengkap Perabot• Harga sewa murah
• Bebas deko rumah
• Pilihan tepat untuk sewa lama

Keburukan Sewa Rumah Kosong/Tak Lengkap Perabot• Banyak belanja
• Kos angkut barang
• Risiko kerugian

Penyewa Boleh Demand Perabot Dari Tuan Rumah Tak?

Hal-hal macam ini sebenarnya boleh settle atas budi bicara. Jangan takut, tuan rumah tak makan orang…

Kalau anda rasa kelengkapan rumah masih tak cukup, boleh cuba berbincang dengan tuan rumah.

Biasanya, dalam perjanjian sewa, tuan rumah memang dah siap-siap masukkan senarai inventori yang sedia ada dalam rumah. Nak tambah perabot? Tiada masalah!

Cuma perlu add-on saja dalam senarai inventori atau buat rekod bertulis yang lain. Asalkan, kedua-dua pihak bersetuju dengan terma dan syarat yang dikenakan. Contohnya ada perubahan pada kadar sewa atau utiliti.

Tiada Betul Tiada Salah

Fully furnished atau unfurnished masing-masing ada kekuatan dan kelemahan tersendiri. Hakikatnya, ia 100% bergantung pada bajet dan pilihan anda sendiri.

Rumah lengkap perabot, kalau tak kena dengan citarasa, tetap tak boleh memuaskan anda kan? Jadi, tepuk dada, tanya selera!

Apa-apapun hal-hal berkaitan menyewa ini tidak lah rigid sangat. Anda boleh berbincang dengan tuan rumah pada bila-bila masa saja.

Bukan semuanya perlu dimasukkan dalam perjanjian sewa. Kita kan berurusan dengan manusia, bukannya robot!

Selamat menyewa!