Apakah Terma-terma Asas Yang Perlu Ada Di Dalam Sesuatu Perjanjian Jual Beli Hartanah? (Part I)

Hakikat yang perlu diketahui, kebanyakan pembeli sesuatu hartanah tidak akan membaca keseluruhan Perjanjian Jual Beli yang mereka tandatangan. Kebiasaannya, ia adalah kerana sama ada mereka memang tidak mempunyai masa untuk membaca atau mereka tidak mempunyai kekuatan untuk membaca Perjanjian Jual Beli yang tebal tersebut. Selalunya mereka hanya menurunkan tandatangan di tempat yang diarahkan oleh peguam atau kerani peguam semata-mata. Selebihnya diserahkan sepenuhnya kepada peguam.

Sebagai pembeli sesuatu hartanah, wajar sekurang-kurangnya anda mengetahui tentang terma-terma asas yang ada di dalam sesuatu Perjanjian Jual Beli yang anda tandatangani. Walaupun terma-terma tersebut mungkin berbeza antara satu perjanjian dengan perjanjian jual beli yang lain, sekurang-kurangnya dengan mengetahui terma-terma asas sesuatu perjajian jual beli tersebut, anda boleh meminta penjelasan dengan lebih terperinci lagi dengan peguam anda berkaitan dengan terma-terma tersebut. Sekurang-kurangnya tidaklah anda kabur dengan perjanjian jual beli yang akan anda tandatangani.

Abang FY akan kongsikan serba sedikit dengan anda antara terma-terma asas yang perlu ada dalam sesuatu perjajian jual beli. Untuk terma-terma yang lebih terperinci mungkin anda kena semak dan rujuk kepada perjanjian jual beli anda sendiri.

Dalam sesuatu perjanjian jual beli, diantara terma-terma asas yang perlu ada adalah seperti berikut:

  1. Pengenalan / Mukaddimah.

Apakah terma-terma yang perlu ada dalam bahagian pengenalan?

i. Maklumat (termasuklah nama, no. kad pengenalan, alamat) tentang penjual (tuan tanah / pemaju) dan pembeli (pemaju / pembeli rumah).

ii. Maklumat tentang hartanah yang hendak dijual (termasuklah no. hakmilik, status tanah, keluasan tanah, maklumat tentang ketuanpunyaan dan syarat kegunaan tanah)

iii. Persetujuan penjual untuk menjual dan persetujuan pembeli untuk membeli sesuatu hartanah denga sukarela tanpa ada unsur-unsur paksaan.

  1. Hartanah dijual daripada penjual kepada pembeli bebas daripada sebarang halangan (free from all encumbrances) dan menjadi tanggungjawab penjual untuk mempastikan supaya tidak wujud sebarang halangan terhadap hartanah tersebut sebelum ianya dipindahmilikkan kepada pembeli.
  1. Harga jual beli hartanah tersebut.
  1. Cara bayaran harga jual beli. Kebiasaannya, bayaran deposit sebanyak 10% daripada harga jual beli akan dibayar pada masa menandatangani perjanjian jual beli dan baki 90% lagi akan dijelaskan mengikut persetujuan bersama kedua-dua pihak. (Biasanya 3 bulan daripada tarikh perjanjian jual beli, atau sekiranya perjanjian jual beli tersebut daripada pemaju kepada pembeli rumah, tempoh bayaran baki harga jual beli adalah mengikut progres pembinaan rumah tersebut sehingga siap sepenuhnya). Baki bayaran jual beli juga boleh dijelaskan melalui pinjaman daripada institusi kewangan atau kerajaan.
  1. Lanjutan tempoh bayaran sekiranya pembeli gagal menjelaskan baki bayaran harga jual beli. Biasanya tempoh lanjutan adalah selama sebulan tertakluk kepada faedah lewat bayar yang boleh dikenakan oleh penjual kepada pembeli.
  1. Tanggungjawab pihak pembeli dan penjual yang perlu dipatuhi dalam perjanjian jual beli tersebut. (Tanggungjawab pihak-pihak yang lebih terperinci , anda kena semak sendiri perjanjian jual beli anda).
  1. Serahan milikan kosong. Kebiasaannya milikan kosong hartanah tersebut akan diserahkan oleh penjual kepada pembeli apabila keseluruhan harga jual beli telah dibayar oleh pembeli kepada penjual dan penjual serta pembeli telah melaksanakan tanggungjawab masig-masing sebagaimana yang diperuntukkan dalam perjanjian jual beli tersebut.

Abang FY rasa, cukuplah sampai di sini dahulu perkongsian mengenai artikel memahami terma-terma perjanjian jual beli. Hari pun sudah larut malam… InshaAllah, Abang FY akan sambung ke bahagian 2 nanti..

Nantikan episod seterusnya…. Semoga bermanfaat…