11 Tanggungjawab Penyewa Dan Tuan Rumah Wajib Tahu

Tanggungjawab Penyewa

Menjadi seorang penyewa yang beretika penting kerana ia bukan sahaja menjaga imej orang menyewa, tetapi juga sebab mereka tinggal di hartanah orang lain.

Hubungan dengan tuan rumah pun mesti elok. Mudah-mudahan senang mintak tolong. Lambat sikit bayar sewa pun takpa!

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara lain yang perlu diberi perhatian oleh setiap penyewa.

1) Jaga Baik-Baik

ni taklah bermaksud penyewa wajib membersihkan unit sewaan tersebut (kecuali ada disebut di dalam kontrak) ataupun perlu melakukan pembaikan sendiri yang sewajarnya (sekali lagi, perlu ada di dalam kontrak).

Tetapi mereka perlu mengelak daripada mengotorkan unit tersebut. Maksudnya kotor sampai merosakkan!

Misalnya, jika ada anak-anak kecil, ibu bapa dan penjaga harus peka bagi mengelakkan mereka menconteng dinding rumah dan sebagainya.

 

2) Jaga Kebersihan Dan Kemudahan Diberi

Ini juga termasuk dalam aspek menjaga harta benda orang, dalam konteks ni, hartanah yang disewa.

Walaupun penyewa tak diwajibkan melakukan pembersihan besar-besaran namun perkara asas seperti mengelap tingkap, membasuh bilik air dan membuang sampah sepatutnya dibuat.

Sekiranya unit dilengkapi dengan peralatan elektrik dan perabot, segala kelengkapan tersebut perlu dijaga dengan baik dan perlulah dalam keadaan yang sama eloknya ketika mula-mula berpindah masuk.

3) Jangan Buat Ubah Suai Tanpa Kebenaran

Walaupun ada penyewa beranggapan mengubahsuai mahupun mengecat dinding akan membantu dan memudahkan urusan tuan rumah, tapi tak semua tuan rumah akan menghargai usaha anda itu.

Sentiasalah berunding dengan tuan tanah atau ejen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang ubah suai.

Tanya dulu sebelum buat sebesar-besar perkara seperti meruntuhkan struktur hartanah sehinggalah kepada benda remeh seperti ketuk paku ke dinding.

Mengubah suai rumah, mengecatnya dengan warna yang anda gemari atau menukar perabot yang disediakan juga bukanlah satu idea yang baik, kecuali dah dapat kebenaran tuan rumah.

 

4) Barang Rosak? Hubungi Tuan Rumah!

Sekira berlakunya kerosakan pada kelengkapan dan peralatan elektrik yang disediakan, jangan sesekali membaikinya sendiri.

Hubungi tuan rumah dan atur temujanji untuk baik pulih. Jika mereka minta anda baiki sendiri, bincang tentang bayaran balik kos sebelum buat apa-apa!

Juga pastikan anda baiki sebaik saja ianya rosak, jika tak, ia mungkin menimbulkan risiko terhadap deposit anda apabila mahu berpindah keluar nanti.

 

5) Biasakan Diri Dengan Alat Kelengkapan Rumah

Seiring kemajuan teknologi, perkara yang mudah boleh jadi susah.

Sebagai contoh, mesin basuh canggih mungkin mempunyai banyak butang yang anda tak tahu fungsinya atau peti sejuk ada ciri keselamatan aneh seperti tak boleh dibuka selama beberapa saat selepas ditutup.

 

Jadi, bagi mengelakkan berlakunya sebarang kerosakan tak disengajakan, biasakan diri dengan fungsi pelik-pelik ini sebelum menggunakannya.

Sekiranya anda tak pasti, hubungi ejen atau tuan rumah untuk panduan. Jangan main tekan-tekan sampai rosak, anda juga yang susah.

 

6) Kenali Jiran Dan Sentiasa Bertimbang Rasa

Sikap bertimbang rasa sangat penting bagi penyewa yang berkongsi unit dengan orang lain, atau bagi mereka yang tinggal di kawasan kejiranan yang senyap dan tenang.

Lagipun, tak ada siapa yang suka dengar bunyi bingit di tengah malam, atau riuh rendah pesta larut malam bila orang sebelah hendak tidur.

Kenal jiran juga banyak faedahnya, mereka boleh beritahu kalau ada aktiviti meragukan di unit anda ketika anda tiada di rumah atau isu keselamatan di kawasan itu.

Kehidupan berkomuniti pun lebih tenang bila kenal orang, taklah dikatakan kera sumbang. Tahanlah sikit dengan makcik bawang, asal tak menyusahkan.

 

 

Tanggungjawab Tuan Rumah

Sebagai pemilik hartanah, tugas tuan rumah bukan hanya tiap bulan kutip duit sewa – mereka juga ada tanggungjawab terhadap penyewa mereka.

Jika tuan rumah itu sendiri seorang yang bagus dan bertanggungjawab, dah tentu ramai yang ingin menyewa unit mereka. Betul tak?

1) Selenggara Struktur Dan Bahagian Luar Hartanah

Jika penyewa diharapkan untuk menjaga kebersihan rumah sewa, tuan rumah pula diiharapkan dapat memastikan struktur dan bahagian luar hartanah sewa itu diselenggara dengan baik.

Pastikan dinding rumah tak mengelupas selepas dicat, dan strukturnya perlulah baik tanpa ada sebarang kebocoran atap dan siling atau dinding retak.

Apatah lagi unit tersebut kini menjadi tempat tinggal penyewa sekarang, dan mereka mestilah nak rasa selesa selepas seharian penat bekerja.

 

2) Keselamatan Cegah Banjir Dan Kebakaran

Mungkin tiada keperluan tuan rumah untuk memastikan bangunan yang didiami penyewa terhindar daripada banjir jika hartanah tersebut terletak di kawasan tinggi, namun pencegahan kebakaran, dah sah-sah ianya wajib.

Ini bukan hanya melindungi tuan rumah dari bencana alam yang tak dijangka, tetapi juga untuk melindungi harta peribadi penyewa.

Penggera asap juga perlu dipasang di kawasan strategik di dalam bangunan untuk memberikan amaran awal jika berlaku kejadian kebakaran.

3) Selesaikan Masalah Bekalan Air, Elektrik Dan Gas

Sama ada penyewa sendiri perlu melunaskan bil utiliti atau tidak, tuan rumah harus menyelesaikan semua masalah utiliti yang timbul kerana ianya didaftarkan di atas nama pemilik rumah, bukan nama penyewa.

Masalah akan bertambah rumit jika penyewa cuba selesaikan sendiri, kerana kebanyakan agensi utiliti ini memerlukan pemilik rumah itu sendiri hadir semasa aduan dibuat.

4) Selenggara Peralatan Dan Perabot

Misal kata jika peralatan rosak dan perabot memerlukan baik pulih, tuan rumah yang sepatutnya bertanggungjawab. Kecualilah jika barangan tersebut rosak disebabkan penyewa.

Pembaikan peralatan harus dilakukan dengan segera, supaya tak menyusahkan penyewa.

Tuan rumah wajar beri notis minimum 24 jam sebelum datang ke rumah sewa untuk kerja pembaikan atau perkhidmatan penyelenggaraan, agar penyewa bersedia jika kehadiran mereka diperlukan.

Walaupun penyewa hanya menyewa, privasi mereka kenalah dijaga juga!

 

 

5) Pemeriksaan Berkala Keselamatan Gas

Semua rumah sewa yang menggunakan gas untuk memasak perlu diperiksa pihak bertauliah setiap tahun. Pemeriksaan ini perlu diuruskan tuan rumah.

Bukan saja dapat melindungi hartanah sendiri yang disewa, ia juga untuk melindungi penyewa daripada kecelakaan berkaitan gas seperti letupan dan kemalangan lain.

Sumber : PropertyGuru.com.my

Penafian: Maklumat disediakan adalah maklumat umum sahaja. Fadzly.com tidak mempunyai tanggungjawab perwakilan atau penjaminan berkaitan maklumat diberikan, termasuk tetapi tidak terhad kepada sebarang perwakilan atau penjaminan berkaitan ketepatan bagi sebarang tujuan maklumat yang mana dibenarkan undang-undang. Walaupun semua usaha telah diambil bagi memastikan maklumat disediakan di dalam artikel ini adalah tepat, boleh dipercayai dan lengkap ketika ia ditulis, maklumat disediakan di dalam artikel tidak boleh disandarkan untuk membuat sebarang keputusan kewangan, pelaburan, harta tanah atau perundangan. Selain itu, maklumat tersebut tidak seharusnya menggantikan nasihat profesional terlatih yang mempertimbangkan fakta dan situasi persendirian anda, dan fadzly.com tidak menerima pertanggungjawaban jika anda menggunakan maklumat tersebut bagi membuat keputusan.